PAS Sabah sedia tanding lebih 20 Dun, 4 parlimen

IZWAN ABDUL HALIM | .

PUTATAN: Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat sedang meneliti cadangan PAS Sabah untuk bertanding lebih 20 kerusi Dun dan tidak kurang empat Parlimen pada Pilihan Raya negeri itu yang dijangka diadakan lebih awal dari PRU-14, demikian menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ali.

Maklumnya, beliau bersama Pengarah-pengarah Pilihan Raya PAS Negeri telah membuat tinjauan ke negeri Di Bawah Bayu itu antaranya di Kundasang dan Keningau bagi mengikuti perkembangan politik dan persiapan terhadap jangkaan tersebut.

Katanya, hasil pertemuan dan perbincangan dengan PAS Kawasan-kawasan di Sabah, beliau menegaskan bahawa PAS masih belum mempunyai hubungan dengan mana-mana parti politik di negeri itu sebagaimana penggal yang lalu.

“Walau macam mana pun kita bersedia untuk bincang dengan mana-mana parti politik yang sekiranya bersedia untuk bincang ada sedia menghadapi pilihan raya. Kalau tidak, maka kita akan hadapi pilihan raya ini secara bersendirian.

“Dan apabila kita bersendirian, kita bebas untuk bertanding di mana-mana sekalipun, tidak terikat, dulu nak bertanding ini kawan-kawan kata ini tempat yang sesuai bagi mereka ini. Sekarang ini kita tak terikat, dalam perbincangan kami dengan pimpinan PAS Sabah pun tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

“Pihak Pilihan Raya Pusat akan mengkaji kemunasabahan yang dicadangkan itu (lebih 20 Dun dan sekurangnya 4 Parlimen). Mungkin kurang mungkin lebih daripada yang dicadangkan, boleh jadi juga, kita tengok perkembangan-perkembangan yang berlaku sekarang ini,” ujarnya pada sidang media di Pejabat PAS Kawasan Putatan, di sini semalam.

Menurut beliau, kehadirannya bersama jentera itu adalah untuk menyiapkan persiapan umum petugas pilihan raya dari negeri-negeri lain datang membantu sebagaimana pada PRN Sarawak yang lalu.

Katanya, pihak beliau telah mengadakan latihan terakhir pada 28 Januari lalu dan akan terus memantapkan persediaan sebelum hari pembubaran, namun telah bersiap menghadapi gerak kerja lapangan Pilihan raya Negeri itu.

Datuk Mustafa turut menjelaskan bahawa PAS memahami seruan-seruan kenegerian yang berkumandang, tetapi sebagai parti dalam negara demokrasi, PAS bebas untuk bertanding di mana perjuangan PAS bukan untuk satu-satu kaum sahaja.

Tegas beliau, PAS terbuka, bahkan di dalam PAS ada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang boleh dikemukakan sebagai calon mengikut kesesuaian. – HARAKAHDAILY 28/2/2017