EAIC siasat kematian tahanan lokap BP Bukit Sentosa

HARAKAHDAILY | .

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan atau Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) telah memulakan siasatan ke atas kematian tahanan bernama Thanaseelan a/l Muniandy di Lokap Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor pada 25 Februari 2017.

Demikian dimaklumkan Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan atau Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) telah memulakan siasatannya sejak 26 Februari 2017 (Ahad) ke atas kematian tahanan bernama Thanaseelan a/l Muniandy di Lokap Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor, Selangor pada 25 Februari 2017.

M. Thanaseelan (si mati) yang berumur 43 tahun telah ditangkap bersama dua orang lelaki lain sekitar jam 2.00 pagi pada 22 Februari 2017 kerana disyaki terlibat dengan kes kesalahan di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan (pencerobohan/pecah rumah). Pada 22 Februari 2017, perintah reman telah diperolehi bagi si mati ditahan reman selama empat hari.

Pada 24 Februari, si mati telah mengadu sakit perut dan telah dibawa oleh pihak polis ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan rawatan. Beliau kemudiannya telah dibawa semula ke Lokap Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor selepas mendapatkan rawatan. Pada 25 Februari 2017 sekitar jam 1.50 pagi si mati didapati tidak sedarkan diri di dalam lokap tersebut dan telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas. Mayat si mati telah dibuat pemeriksaan oleh Koroner sekitar jam 7.50 pagi 25 Februari 2017 sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh sekitar jam 11.20 pagi pada hari yang sama.

Bedah siasat ke atas mayat si mati telah dijalankan pada 27 Februari 2017 oleh Hospital Sungai Buloh.

Sehubungan ini EAIC telah membentuk satu pasukan pegawai penyiasat bagi menjalankan siasatan ke atas kes kematian tersebut selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Skop dan terma rujukan siasatan EAIC adalah seperti berikut:

Untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 24 Akta 700, termasuk perlakuan yang bersifat jenayah oleh pegawai PDRM semasa mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan tersebut; dan

Sekiranya terdapat salah laku dizahirkan, untuk menentukan dan mengenal pasti:

bagaimana dan mengapa salah laku itu terjadi;

apakah peruntukan undang-undang, peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, Standard Operating Procedures (SOP) dan arahan-arahan tetap yang berkaitan dengan pengurusan dan pengendalian orang tahanan yang telah dipecahi; dan

individu yang bertanggungjawab ke atas salah laku atau perlakuan jenayah tersebut.

EAIC amat memandang serius kejadian ini susulan daripada dua kes kematian dalam tahanan lokap PDRM iaitu Soh Kai Chiok di IPD Bera, Pahang pada 18 Januari 2017 dan S. Balamurugan di IPD Klang Utara pada 8 Februari 2017. Dalam perkembangan terkini berkaitan kedua-dua kes kematian tersebut yang sedang disiasat oleh EAIC, 53 saksi telah diambil keterangan oleh Pasukan Penyiasat EAIC bagi kes Soh Kai Chiok, manakala 47 saksi telah diambil keterangan bagi kes S. Balamurugan.

EAIC menegaskan siasatan akan dijalankan dengan komprehensif, telus dan tanpa prejudis serta tidak berpihak kepada sesiapa. Kematian tahanan di dalam lokap adalah kejadian yang amat dikesali dan perlu dielakkan.

Beserta kenyataan ini saya menyeru dan menggesa semua pegawai dan anggota PDRM supaya memberi perhatian, mengambil panduan serta mematuhi SOP Pengurusan Lokap PDRM yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman pada 21 April 2014 yang memperuntukkan dengan komprehensif berkaitan pengendalian orang tahanan di lokap-lokap PDRM. - HARAKAHDAILY 28/2/2017