RUU 355: Usah terpengaruh agenda media musuh

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

RUU 355: USAH TERPENGARUH AGENDA SETTING PERMAINAN MEDIA MUSUH
 
Secara asasnya, bersikap responsif terhadap isu-isu semasa adalah sangat baik kepada sesebuah parti politik agar tidak dilihat ketinggalan. Lebih-lebih sekiranya isu yang timbul berkait dengan parti politik tersebut sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Namun bersikap terlalu responsif juga mengundang keadaan yang negatif apabila tidak dapat dikawal dengan baik.

Merujuk kepada situasi yang sedang dihadapi oleh PAS sekarang, isu-isu picisan sedang dicipta dengan banyaknya sehingga mengundang respons daripada seluruh organ PAS dari atas sampai ke bawah. Ia tidak lain bertujuan untuk mengalihkan fokus media PAS daripada isu asal yang perlu dimainkan untuk terus meraih sokongan rakyat.

Melalui isu RUU355, PAS berjaya mencipta nama yang baik di peringkat nasional. Populariti PAS melonjak sangat tinggi di kalangan rakyat majoriti. Bahkan kalangan bukan Islam turut memberikan perhatian serius, terutamanya golongan yang terpelajar. Mereka mengkaji RUU355 secara ilmiah tanpa dipengaruhi sentimen dan persepsi yang dimainkan media. Kemuncaknya adalah apabila himpunan H355 berjaya menghimpunkan ratusan peserta berkampung hampir sehari suntuk semata-mata untuk menyatakan sokongan.

Perkara ini tentunya tidak disenangi seteru politik PAS. Jika anda perasan, selepas sahaja himpunan H355, semua pimpinan utama parti politik lain tidak lagi bercakap tentang RUU355 samada yang menyokong atau yang menentang. Kalau adapun, satu daripada MCA yang mengatakan sedia berbincang kembali tentang pendirian mereka terhadap RUU355. Satu lagi daripada PAN, mengatakan dengan angkuhnya mereka boleh tarik lebih ramai orang jika menganjur H355. Tetapi selepas itu, tiada lagi kenyataan susulan.

Mereka seolah menyedari hakikat bahawa semakin ditekan isu RUU355, semakin nama PAS naik dan mendapat sokongan marhaen.

Lalu dengan tiba-tiba isu-isu picisan timbul. Bermula dengan isu Audi Q7, kemudian isu Husam ganggu pentas PAS, diikuti isu PAS bakal berpecah, disambung semula dengan isu 90 juta dan begitulah seterusnya. Pelbagai pihak daripada PAS segera merespon setiap yang timbul. Dada-dada media penuh dengan jawapan PAS dan serangan susulan PAS.

Dalam tidak sedar, kehangatan himpunan H355 tenggelam begitu sahaja. Tiada lagi kenyataan atau penerangan susulan berskala mega berkenaan RUU355 walhal, tarikh persidangan parlimen yang seterusnya sudah hampir tiba!

PAS baru sahaja meraih populariti yang tinggi hasil H355. Tetapi mata yang tertarik dengan PAS di kalangan golongan luar boleh jadi kabur kembali apabila melihat PAS banyak bermain isu-isu picisan yang tidak menggambarkan aspirasi sebenar perjuangan ini.

Tidak dinafikan, PAS yang berjuang atas dasar kebenaran tidak pernah kekeringan hujah. Tetapi memiliki kebenaran tidaklah bermakna kita perlu menjawab semua isu yang dibangkit. Bukan semua kebenaran perlu didedahkan. Perlu sedar di sana terdapat mainan musuh untuk menggagalkan kita dari meraih kedudukan yang sepatutnya.

Tidak dinafikan juga, dakwaan yang salah perlu dipadamkan segera. Tetapi tidak perlulah semua jentera menggempur isu yang sama. Cukuplah pihak tertentu samada dari negeri tertentu, lajnah tertentu atau cawangan tertentu sahaja yang memainkan peranan tersebut. Yang lain perlu fokus kepada membawa agenda utama perjuangan PAS.

Dalam falsafah media, terdapat satu teori yang disebut oleh Maxwell E. McCombs pada tahun 1972 yang dikenali sebagai teori agenda-setting. Teori ini adalah media memainkan peranan membentuk fokus manusia terhadap isu-isu tertentu. Dengan cara berterusan memainkan isu-isu yang dikehendaki, mereka boleh membawa manusia berfikir tentang perkara itu. Ataupun membawa manusia lari dari isu yang sepatutnya difikir. Premis teori agenda-setting ini adalah: “Media do not tell us what to think, but rather what to think about.” (Media tidak mempengaruhi kita untuk berfikir apa, tetapi berfikir ‘tentang apa’.)

Organ penerangan dan media PAS bukan sekadar memerlukan panduan tentang isu-isu yang perlu dimainkan berserta bekalan hujah yang cukup, tetapi juga perlu difahamkan tentang agenda-agenda licik permainan media di luar sana. Seminar penerangan sepatutnya membincangkan perkara sebegini agar pendukung PAS lebih terdidik dalam setiap lapangan keterlibatan mereka.

Dengan keahlian melebihi angka sejuta, rata-ratanya pula dari kalangan muda-mudi dan golongan terpelajar dan mahasiswa, saya yakin PAS memiliki kepakaran yang cukup untuk merealisasikan cadangan di atas. Bukan dalam bidang media sahaja, bahkan semua bidang yang ada. 1 juta tu! Walau bagaimanapun Ia mesti bermula dengan data keahlian yang lengkap dan enjin carian yang sistematik bagi memudahkan tenaga ini dimanfaatkan.

Saiz PAS sudah terlalu besar. Pengaruhnya juga besar. Peranannya turut membesar. Justeru operasi pentadbiran PAS juga perlu lebih besar dari semasa ke semasa. Tidak boleh lagi bersikap populis dalam mengatur perancangan dan aktiviti, tetapi perlu lebih realis dan profesional. - HARAKAHDAILY 28/2/2017