9 peserta Malaysia ke Tilawah Tijan An Nur di Qatar

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR | .

PENGKALAN CHEPA: Seramai sembilan orang peserta yang mewakil Malaysia, akan menyertai pertandingan musabaqah al-Quran Antarabangsa anjuran Tijan An-Nur Jazeera Children Channel (JCC).

Daripada jumlah itu, seorang daripadanya dari Terengganu dan selebihnya dari Kelantan akan berada di Qatar selama 12 hari.

Malam tadi mereka berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan seterusnya berlepas ke Qatar pagi tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Majlis perlepasan itu dilakukan bersama Pengarah Jabatan Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Ustaz Ropein Hassan.

Turut melakukan perlepasan Pegawai Khas anggota exco kerajaan negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan,  Borhanuddin Ahmad.

Ustaz Ropein berkata, tilawah Tijan An-Nur itu adalah program khas kanak-kanak yang disiarkan oleh stesen televisen Qatar, Jazeera Children Channel (JCC).

Menurutnya, semua perbelanjaan ditanggung oleh Qatar bagi mencungkil bakat baru dalam tilawah musim ke lima itu.

“Selain peserta, turut ditaja oleh stesen tv berkenaan adalah pengiring peserta sama ada ibu atau bapa atau pembimbing bacaan al-Quran peserta,” ujarnya.

Ini kerana, setiap peserta perlu dilatih agar mereka dapat mengikuti beberapa lagi pertandingan sebelum berjaya ke peringkat akhir.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah melantik imam Madinah Ramadan Sheikh Hisyam Abdul Bari ke sana sebagai wakil kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap peserta Kelantan dapat membawa balik kejayaan.

“Yang penting ilmu yang ada dapat dimanfaatkan pada masyarakat dan mengharumkan nama negeri dan negara tambahan pula program itu bakal disertai oleh peserta  hampir seluruh dunia, ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 28/2/2017