Sememangnya PAS boleh diharap

USTAZ MOHD NOR HAMZAH | .

Tajuk di atas membawa dua maksud yang sangat signifikan kepada apa yang telah PAS berjaya raih dan insya Allah akan meraih. Maksud pertama ialah PAS sememangnya boleh diharap bagi membawa agenda perubahan kepada bukan sahaja negeri, malah kepada negara juga dengan nilai teras Islam yang PAS bawakan kepada rakyat Malaysia.

Keduanya sememangnya PAS ‘boleh’ diharap iaitu PAS telah berjaya dengan sasaran programnya di HARAP 3.5 di Besut yang berakhir Sabtu lalu. Ini terbukti dengan kehadiran bertali arus pengunjung-pengunjung selama tiga hari program berlangsung. PAS Boleh!

Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang bertungkus lumus memberikan yang terbaik kepada tetamu. Saya yakin, kejayaan menarik begitu ramai tetamu ini adalah kerana rakyat begitu teruja ingin mengetahui apakah tawaran lain PAS selain daripada pemerintahan berteraskan Islam kepada rakyat jelata. PAS sangat dipercayai oleh rakyat bagi menggantikan pemerintahan korup Umno sekarang ini.

Sangkaan saya setelah penat berhimpun untuk menyokong RUU 355 di Kuala Lumpur, dalam tempoh kurang seminggu, berkemungkinan kehadiran ke HARAP akan berkurang. Namun nyata ianya meleset. Rupanya semangat rakyat terus membara. Tanpa mereka peduli penat dan wang ringgit, mereka tetap hadir.

Ada pihak yang menjadi tidak keruan dengan kejayaan PAS ini. Lalu bagai menjerit-jerit amarah mereka dilampiaskan kepada PAS. Ada yang berkata mereka boleh menghimpunkan jumlah lebih besar dari RUU 355. Ada pula yang menyindir PAS sentiasa berjaya mengumpulkan puluhan atau ratusan ribu penyokong apabila membuat program, tetapi tetap kalah apabila PRU.

Tidak ketinggalan juga yang mendakwa PAS sudah berpecah. Mereka sudah merampas sebahagian besar ahli PAS. Semuanya bersuara mengeji tanpa noktah. Begitu menggelegak tekanan di dalam tubuh mereka, tidak dapat dibendung lagi. Namun, PAS tetap PAS, tidak perlu melayan kerenah mereka ini, yang hanya mahu menumpang populariti PAS.

Umpan yang diberikan ialah Putrajaya ataupun kemenangan di dunia ini. Tidak dinafikan, memang semua pihak yang bertanding mahukan kemenangan. Tetapi bagi PAS, syarat utama kemenangan itu, mestilah diiringi dengan redha Allah. Jika kalah tetapi diredhai Allah PAS bersyukur. Alangkah lagi jika menang. Tetapi jika menang tanpa redha Allah, apakah maknanya? Inilah penekanan yang dibuat oleh Mursyidul Am PAS, ketika merasmikan program HARAP 3.5 baru-baru ini dan juga oleh Mursyidul-Mursyidul Am PAS yang lalu.

Ketegasan ini sangat menyakitkan perasaan lawan atau pendengki PAS apabila umpan mereka hulurkan, tidak dimakan oleh PAS. Berusaha mereka bagi memancing PAS, tetapi hampa kerana mereka tidak membawa keredhaan Allah bersama umpan mereka. Lantas, dengan senada, mereka secara bersama, menghina, memfitnah, mengugut, menekan dan berbagai-bagai lagi ke atas PAS.

Ada juga sebahagian daripada mereka memuji PAS, namun ianya tetap sama, tiada membawa bersama mereka keredhaan Allah. Bagaimana mereka mahu membawa bersama keredhaan Allah jika mereka sendiri juga tidak mengasaskan jemaah mereka berdasarkan kehendak Allah? Apa yang membuatkan dahi kita berkerut ialah, sudah hampir pupus suara DAP menghina PAS, tetapi khadamnya sangat setia berkhidmat kepada tuannya pula tetap istiqamah menghentam PAS. Untunglah DAP.

Bagai menjamu budu, semakin dilenyek dengan cili yang pedas, semakin digaul dengan tempoyak yang busuk, semakin diperah dengan limau yang masam, semakin enak pula dimakan, semakin ramai yang mahu menjamah. Paling bernilai ialah, di sebalik semua kejian, cacian, penghinaan ini, rakyat tetap bersama PAS.

Jumlah keahlian baharu yang diluluskan semenjak perginya golongan penentang dasar PAS dua tahun lalu, yang direkodkan ialah ribuan ahli baharu diterima tiap-tiap bulan. Jika benar PAS sudah berpecah, silalah pergi jauh-jauh dari PAS. Umpama rangkap pantun….
Apa diharap padi seberang
entahkan jadi, entahkan tidak
apa diharap padanya orang
entahkan sudi, entahkan tidak.

Tuntas, PAS tidak sudi. Pergilah bersama ‘separuh’ ahli PAS yang telah dibawa lari itu. PAS hanya mahu menumpukan menentang penyelewengan Umno BN bagi mengembalikan hak rakyat menurut Islam.

Racauan itu tidak hanya terhad kepada pembenci luar sahaja, malah pembenci dalaman juga. Mungkin saki baki daki tinggalan kumpulan penentang dahulu, baharu kini timbul untuk dibersihkan. Apa yang menarik di sini ialah, kesepakatan mereka mengacau PAS bagi melawan Umno, sangat tersusun. Begitu liciknya Umno meninggalkan baka mereka di dalam parti lain, bagi memudahkan kerja mereka. Ibarat British yang meninggalkan benih mereka sebelum diberikan kemerdekaan, begitulah juga para pembenci PAS, bagaikan dipersiap Umno. PAS terpaksa melanggar benteng mereka ini dahulu sebelum bertemu dengan Umno. Dan sudah tentu PAS kepenatan kerana melayan mereka dahulu.

Marilah kita sama-sama mencukupkan syarat kemenangan kita, agar kemenangan kita diredhai Allah dengan mengerjakan suruhan Allah di setiap masa. Budaya Politik Matang dan Sejahtera kita, semakin disukai rakyat. Anak-anak muda adalah golongan teramai mengikuti program PAS. Semakin dihimpit, semakin gagah kita berjalan. PAS tidak mengharapkan kepada manusia, tetapi hanya kepada Allah. Manusia hanya sebagai asbab kemenangan. Oleh itu, PAS tidak peduli siapa yang mahu keluar kerana mereka adalah manusia. Selagi PAS berpegang kepada jalan Allah, ugutlah, hinalah, bencilah, tekanlah, PAS istiqamah, tidak akan meninggalkan jalan Allah insya Allah.

Semoga Besut memberikan kerusi kepada PAS dengan semua Dun yang lain mengekalkan dan menambah kerusi PAS. Langkahan kita semakin kemas, menjadikan lawan tidak ketahuan punca. Kalau PAS tidak kuat, kalau PAS lemah, kalau PAS sudah terpinggir dari arus politik negara, masakan tidak kenal jemu mereka sibuk menghentam kepada PAS saban hari? Hanya orang yang kurang akal sahaja yang menyibukkan diri dengan barang yang tidak berharga. Mereka tahu nilai PAS, tapi mereka malu. Jumpa kita di HARAP 3.6 di Kuala Berang, insya Allah.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
1 Jamadilakhir 1438 / 28 Februari 2017 - HARAKAHDAILY 28/2/2017