PAN usah menyibuk urusan muktamar PAS

AHMAD AMZAD HASHIM | .

SIBUK sungguh pemimpin PAN mengulas soal Muktamar Agong PAS yang akan berlangsung pada April 2017 ini di Kedah. Siap membuat macam-macam spekulasi konon PAS akan pecah dua. Sedangkan ketika gangguan besar dengan campurtangan parti parti politik luar yang mahu menentukan keputusan pemilihan di Muktamar Agong PAS tahun 2015 yang menyaksikan tokoh-tokoh PAN yang ada sekarang tersingkir ditolak akar umbi PAS pun tidak memecah dua PAS.

PAS tidak pecah dua, tidak pecah tiga dan tidak pecah empat. Laporan oleh Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin menjelaskan bilangan ahli PAS yang keluar dari PAS tidak sampai 1 peratus. Yang lebih menarik, bilangan keahlian baru pula yang meningkat berkali kali ganda dengan kadar yang tidak pernah disaksikan oleh PAS sebelum ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar antara yang tewas pemilihan pada ketika itu. Beliau ditolak akar umbi PAS. Kini masih ahli PAS tetapi membawa watak bagaikan bukan ahli PAS dengan membawa dakyah PAN. Beliau mendakwa konon bersuara mewakli akar umbi. Soalnya akar umbi yang mana? PAS Kawasan Pokok Sena sendiri sudah buat kenyataan menolak beliau. Akar umbi PAS seluruh negara lagi-lagilah menahan geram ekoran tindak tanduk beliau.

Berbalik kepada pemimpin PAN yang suka sangat menyibuk soal urusan PAS, rakyat masih lagi tertanya-tanya. Sudah lebih setahun sejak penjenamaan semula Parti Pekerja Pekerja Malaysia yang diasaskan oleh Puan Gangga Nayar pada Januari 1978, kepada Parti Amanah pada 16 September 2015. Mesyuarat Agong Luar Biasa Parti Pekerja pada 8 September 2015 meluluskan penukaran nama, logo dan bendera parti.

Benarkah Parti Amanah ini sebuah Parti Islam? Keahliannya macam mana? Susunan kepimpinannya macam mana? Siapa bos yang paling bos? Ulama duduk di mana? Pemimpin dilantik masa mana? Pemilihannya bila?

Soalan-soalan seperti ini timbul kerana rakyat sampai hari ini masih belum dapat melihat Perlembagaan Parti Amanah seperti mana Perlembagaan PAS dan lain lain parti yang diuruskan secara profesional boleh diakses oleh orang awam.

Yang diketahui umum, organisasi kepimpinan PAN hari ini masih lagi diperingkat Jawatankuasa Penaja (Pro tem). Itupun masih mengelirukan kerana PAN bukanlah sebuah parti atau pertubuhan yang baru yang didaftarkan ke Pendaftar Pertubuhan. Ia parti yang sudah ada diasaskan Puan Gangga Nayar pada tahun 1978. Biasanya jika parti yang baru, barulah ada Jawatankuasa Penajanya. Parti yang lama membuat pemilihan mengikut perlembagaan yang ada sama ada setahun sekali atau dua tahun sekali seperti PAS. Tak tahulah jika ia untuk tempoh lebih lama dari itu.

Atau tak perlu kepada pemilihan?

Konvensyen Nasional 2016 PAN pada 10-11 Disember 2016 di SACC, Shah Alam pun tiada agenda tentang pemilihan. Ia sekadar perhimpunan yang sarat dengan pidato dengan kehadiran yang pelbagai, bukan ahli PAN sahaja, tetapi juga dari parti lain termasuk individu seperti Azira Aziz yang ada memuat naik gambarnya di Konvensyen berkenaan. Azira Aziz lantang berkempen menolak RUU355, Pindaan Akta 355 bertujuan meningkatkan kuasa mahkamah syariah.

Rakyat memerhati Salahudin Ayub, Husam kelihatan lebih menonjol daripada Presiden PAN, Mohd Sabu sendiri. Yang ditonjolkan paling tinggi dalam hierarki sebagai ulama, Ustaz Ahmad Awang, hampir tidak kedengaran suaranya.

Kelihatannya PAN sendiri punya pecahan pecahan kumpulan yang tersendiri.

Elok disegerakan pemilihan supaya rakyat boleh menilai bagaimana pula rupa PAN berdepan soal kepimpinan.

Ini sudah lebih setahun. Bila lagi? Kita tak boleh nak kata salah atau betul kerana PAN dan Pendaftar Pertubuhan lebih tahu apa kehendak perlembagaan PAN sendiri. – HARAKAHDAILY 28/2/2017