Rohingya perlukan keprihatinan umat

IZWAN ABDUL HALIM | .

KEHIDUPAN rutin etnik minoriti Muslim Rohingya yang menghuni kem pelarian berselerakan di beberapa daerah dalam Bangladesh hakikatnya diselubungi keperitan dan kebuntuan. Mungkin mereka selamat dari menjadi mangsa kerakusan kekejaman yang menzalimi jasad dan menjahanamkan maruah hingga disembelih dan diputuskan nyawa. Tetapi meniti kehidupan tanpa sekelumit perhatian kemanusiaan menyebabkan diri tidak terurus seperti insan.

Hari esok dan masa depan penuh dengan ketidakpastian kerana yang ada hanyalah kebebasan untuk menghirup udara. Bila-bila masa sahaja boleh terusir di tanah yang sedang ditumpangi kerana ia ‘milik orang’. Bangladesh sebagaimana juga Malaysia, tidak menandatangani perjanjian protokol pelarian 1952. Mereka boleh lepas tangan, bahkan bertindak mengeluarkan dari kedudukan ketika ini. Ketika itu, di mana para pelarian yang terusir dan lari demi menyelamatkan nyawa dan keturunan ini dapat menjejakkan kaki?

Keadaan di kem pelarian yang terwujud tanpa kebenaran melainkan izin simpati dari pemilik tanah tempatan kini telah padat berganda-ganda, di mana belum didaftarkan sebagai kem pelarian. Demi untuk berteduh, binaan kediaman dibuat seadanya dari sulaman dan campuran pelbagai tumbuhan yang melata. Sebuah ‘rumah’ kecil, dibahagikan kepada beberapa bilik untuk setiap keluarga. Tetapi keadaan yang mendesak dan menyesak kini menyebabkan satu bilik dihuni bergilir hingga 15 keluarga.

Kebanyakannya adalah pelarian baharu yang bukan sahaja tiada tempat berteduh, bahkan juga tidak mendapat sebarang bantuan keperluan harian dari mana-mana agensi. Mujur rakyat tempatan tidak banyak soal menerima para pelarian yang terpaksa berdikari meraih segala disekelilingnya untuk terus hidup, walaupun mereka sendiri dihimpit kemiskinan. Namun, risikonya tetap ada apabila kedaifan seperti itu menyebabkan masalah kesihatan sangat teruk dan membimbangkan.

Ramai kanak-kanak tidak mendapat gizi seimbang dan berpotensi terbantut pembesaran mereka. Penyakit imuniti, alahan dan penyakit kulit menjadi pemandangan yang kelihatan pada mereka. Keadaan penempatan pula tidak ada privasi, jauh sekali tandas dan sistem kumbahan serta sanitasi. Malah, menular juga penyakit seperti tibi, malaria dan lain-lain yang menjemput hampir kematian. Menyebabkan, hidup seolah-olah hanya mengadap langit siang dan malam serta makan dan tidur.

Atas semua sengsara derita sedang berlaku itu, amat mustahil menggarap usaha kepada mereka untuk menekuni sekurang-kurangnya pekerjaan mahupun pendidikan. Masih banyak keperluan asas perlu diusahakan disebalik pelbagai cabaran dan kongkongan politik dan peraturan antarabangsa sedia ada.

Bagi PAS sebagaimana ikrar Ketua Delegasi PAS, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyertai Misi Kemanusiaan Food Flotilla for (Arakan) Myanmar baru-baru ini, akan tetap meneruskan bantuan dan kesukarelawan bagi menghulurkan sumbangan semampunya kepada golongan tertindas itu.

Sumbangan kepada misi yang dilaksanakan PAS boleh diberikan melalui akaun Maybank 564070611352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PAS Pusat dan sebarang pertanyaan hubungi 013-3845555 (Mohd Adram) atau 013-9142305 (Abdul Malik). – HARAKAHDAILY 28/2/2017