Munajat Pertahan Kelantan: Jangan lupa Allah

IBNU MAHMUD | .

KOTA BHARU: Sejarah Perang Badar membuktikan bahawa dari sudut akal tentera Islam tidak akan beroleh kemenangan kerana kekuatan fizikal tentera musuh lebih besar dan kuat.

Namun kekuatan yang ada pada tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah ialah kekuatan berdamping dan bermunajat mengadu kepada Allah.

Demikian tazkirah yang disampaikan oleh Bendahari Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Daud selepas sama mengikuti Munajat Pertahankan Kelantan peringkat DUN Bunut Payong yang berlangsung di Masjid ar-Raudah dekat sini.

Munajat Pertahankan Kelantan yang dilancarkan di peringkat negeri baru-baru ini diadakan secara bersambung dan berterusan di semua 45 Dun Kelantan.

Munajat peringkat Dun Bunut Payong dihadiri jentera Dun dan turut disertai oleh masyarakat setempat.

"Panglima Solahuddin Al Ayubi ketika membebaskan Baitul Maqdis mengarahkan tenteranya bermunajat malam sebelum berperang dengan cara membuat pemantauan dari khemah ke khemah bagi memastikan tenteranya bangun bermunajat malam.

"Keesokan hari, beliau akan memastikan mana-mana tentera yang berada dalam khemah yang tidak bangun malam, ditempatkan di belakang dalam susunan tentera yang akan berperang." ujarnya.

Ustaz Asri yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan juga mengambil contoh sistem pemantauan persiapan dalaman tentera Mohamad al-Fatih ketika membuka kota Konstontinaple.

“Inilah kelebihan yang ada pada parti Islam, muqarabah  berdampingan dengan Tuhan dengan penuh pengharapan (ar-raja').

“Kita berpolitik dengan mengharap kepada Allah untuk memperoleh kemenangan Islam dan tidak salah untuk kita bersama-sama bermunajat agar Allah mengekalkan kerajaan Islam Kelantan yang bercita-cita untuk melaksanakan sepenuh syariat dalam pentadbiran,” ujarnya lagi – HARAKAHDAILY 27/2/2017