Wujudkan penilai tahfiz seperti bidang profesional lain

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Satu jawatankuasa penilai wajar ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) bagi memberi pengiktirafan kepada pelajar tahfiz.

Cadangan tersebut diutarakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang melihat kepentingan pelajar hafiz al Quran di negeri perlu diperkasakan.

Menurutnya lagi, langkah sama telah dibuat oleh badan profesional seperti jurutera, akauntan dan sebagainya bagi memberi pengiktirafan.

"Kita mencadangkan kepada Maik supaya membentuk jawatankuasa yang menilai golongan tahfiz al-Quran ini sebagaimana dilakukan oleh profesional lain.

"Ia bagi memperkasakan hafiz al-Quran dengan memberi pengiktirafan dengan menilai bacaan sebagai salah satu syarat untuk memasuki Kias," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis hafazan dan tilawah al Quran bagi tahun ini di Kompleks Balai Islam Lundang di sini malam tadi.

Majlis tersebut dipecahkan kepada dua sesi iaitu pagi untuk hafazan dan malam pula bagi tilawah al-Quran yang bermula hari ini sehingga khamis depan.

Kini kerajaan negeri sedang merangka satu program di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) yang bakal bermula tahun hadapan, 2018.

Langkah berkenaan bagi membolehkan pelajar tahfiz swasta yang tidak mempunyai sijil untuk melanjutkan pengajian keperingkat lebih tinggi.

"Kita memperkasakan pelajar tahfiz ini melalui Kias, kerana kita mahu mereka ini bukan jadi imam sahaja, tetapi mampu memimpin masyarakat dalam semua segi.

"Sebab itulah, sehingga hari ini kita masih memegang pesanan mantan Menteri Besar lalu yang mahu setiap keluarga mempunyai seorang hafiz," jelasnya.

Walaupun katanya usaha tersebut dilihat sukar dicapai, tetapi kerajaan negeri tetap berusaha agar hasrat satu keluarga seorang hafiz dapat direalisasikan. – HARAKAHDAILY 27/2/2017