Islamic Relief Malaysia raikan rakan media

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Islamic Relief Malaysia (IRM) mengadakan majlis khas meraikan rakan-rakan media yang telah membantu gerak kerja dan usaha mereka di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Hari Penghargaan Media 2017 yang diadakan Comedy Planet milik pelawak terkenal Afdlin Shauki turut dihadiri beberapa ikon kemanusiaan IRM dan selebriti serta pengamal media cetak dan elektronik.

Majlis tersebut dirasmikan oleh bekas duta Malaysia ke India Datuk Naimun Ashakli Mohammad.

Ketua Pegawai Eksekutif IRM Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, peranan rakan media sangat penting dalam membantu gerak kerja mereka sebagai medium bagi mengetengahkan isu-isu kemanusiaan untuk perhatian masyarakat umum.

"Tuan-tuan menjadi suara dan jurucakap bagi pihak jutaan insan yang sedang menderita dan memerlukan. Moga segala usaha mulia rakan-rakan media di dalam arus perdana terutama isu-isu kemanusiaan kepada masyarakat umum sekali gus dapat membantu mewujudkan sebuah dunia yang prihatin," katanya ketika memberi ucapan.

Di dalam majlis yang ringkas namun meriah dengan persembahan pelawak-pelawak yang sedang menempa nama di persada hiburan tanah air antaranya Reyza Mukmin, Denial dan Mat Sabah dan persembahan nasyid oleh kumpulan Raihan.

Di samping itu, beberapa anugerah turut disediakan iaitu 14 Anugerah Kemanusiaan kepada media dari pelbagai agensi atas khidmat dan sokongan kepada IRM.

Antara yang menerima anugerah adalah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Media Prima Berhad, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ikim FM, Astro Awani, New Straits Times Press (NSTP), Kumpulan Media Karangkraf, Utusan Malaysia dan TV AlHijrah.

Pelbagai kategori anugerah mula diperkenalkan oleh IRM pada tahun ini iaitu Temubual TV Kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Temubual Santai Kategori Televisyen dan Radio, Laporan Berita Televisyen dan Radio, Rencana Kemanusiaan, Laporan Peristiwa Kategori Majalah, Laporan Berita Tempatan Kategori Bahasa Melayu, Laporan Berita Antarabangsa Kategori Bahasa Inggeris, Dokumentari Khas Kemanusiaan, Khidmat Kewartawanan, Jalinan Kerjasama Kemanusiaan Kategori Televisyen dan Radio.

Islamic Relief (IR) diiktiraf sebagai sebuah badan bukan kerajaan dengan status perundingan khas sejak tahun 1993 oleh Majlis Ekonomi dan Sosial PBB. IR telah mengembangkan mandatnya untuk menyediakan bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bidang termasuk bantuan kecemasan, pembangunan mampan sosial bersepadu (teramsuk perubatan, pembagunan komuniti, pendidikan, kehidupan, tempat tinggal, psikososial) dan pengurangan risiko bencana.

Sehingga kini IR telah berkhidmat di lebih 40 buah negara. Sejak 1984 IR telah mempunyai rangkaian tetap di lebih 35 buah negara merangkumi 100 buah cawangan di seluruh dunia yang bertangunggjawab untuk menyelaras, menjana dana dan melaksanakan program-program IR. – HARAKAHDAILY 27/2/2017