Matlamat PAS mendaulatkan Islam

AHMAD AMZAD HASHIM | .

SAYA sekali lagi pening kepala pagi ni.

Bila ada sahabat yang kongsikan tajuk besar berita "Matlamat PAS Bukan Untuk Jatuhkan Umno" yang dikatakan merujuk kepada ucapan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Abduh bin Almarhum Tok Guru Nik Abd Aziz.

Ada pemimpin yang bahasanya terus. Ada pemimpin yang bahasanya perlu kepada huraian lanjut.

Umumnya ahli PAS ada yang benar-benar menghayati perjuangan PAS dan ada yang hanya ikut ikutan tanpa berada di atas landasan tarbiyyah (pendidikan) yang membantu ia memahami dan menghayati perjuangan.

Bahasa mudah orang PAS yang menghayati perjuangan apabila ditanya pasal apa masuk PAS, nak apa? Maka umumnya dijawab mahu berjuang Islam atau mahu keredhaan Ilahi.

Bagi orang PAS yg tidak menghayati maka jawapannya macam-macam misalnya nak lawan Umno, 'nok mappuh Umno', nak jadi kerajaan. Ada yang masuk PAS hanya kerana nak marah 'tok wakil' Umno tak tolong bebaskan anaknya yang dimasuk lokap kesalahan dadah!

Berkenaan "Matlamat PAS Bukan Untuk Jatuhkan Umno" seperti tajuk artikel yang mudah jadi sensasi ini, ia perlukan huraian lanjut.

Kerana apa pun berkenaan organisasi besar PAS mesti berjalan di dalam kerangka Perlembagaan PAS yang memuatkan fasal fasal asas antara lain tentang DASAR, SERUAN, MATLAMAT DAN TUJUAN dan USAHA USAHA.

Meletakkan jatuh bangunnya Umno sebagai satu 'Matlamat PAS' adalah seperti merendah-rendahkan gagasan besar perjuangan PAS yang digariskan dalam Perlembagaan PAS.

Matlamat PAS adalah seperti digariskan pada Fasal 5 berikut:

"FASAL 5. Tujuan PAS ialah:

Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara."

Kerana itu Umno perlu dinilai keberadaannya dalam konteks matlamat PAS.

Bukan dijadikan sebahagian matlamat PAS itu sendiri.

Jika Umno menjadi halangan, maka demi matlamat PAS, wajarlah usaha usaha diambil bagi mengatasi halangan itu. Termasuklah penyertaan PAS dalam politik pilihan raya menentang pelbagai pihak termasuklah Umno.

PAS menggariskan pelbagai usaha di dalam perlembagaan PAS dalam memandu pencapaian matlamat PAS.

"FASAL 6. Usaha-usaha

Menyeru umat manusia kepada Syari’at Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan

Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan di kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar."

Majlis Syura Ulamak PAS yang diketua Mursyidul Am PAS, sekarang ini Tuan Guru Datuk Hashim Jasin adalah badan tertinggi dalam organisasi PAS yang mengawal tindak tanduk PAS agar selari dengan Prinsip dan Dasar Perjuangan PAS.

Perkara besar seperti tahaluf siyasi, dinilai dulu oleh Majlis Syura Ulamak. Bukan diserahkan bulat-bulat kepada akar umbi melalui mandat muktamar agong PAS. Kena diperhalusi dulu jika berbangkit soal hukum hakam. Juga soal yang memerlukan penilaian pakar. Musuh Islam, sekalipun boleh beri kemenangan pilihan raya, tak boleh dibuat kawan rapat.

Dalam soal Umno, Majlis Syura Ulamak PAS telah mengeluarkan kenyataan tahun lalu bahawa PAS tidak akan ada pakatan politik dengan Umno.

Selari dengan itu, di mana pun kenyataan dan ceramah oleh pemimpin-pemimpin utama PAS, Presiden PAS, Timbalan dan Naib-naib Presiden, menghantar mesej jelas PAS akan bertanding menentang Umno dalam PRU14 akan datang.

Malah pada PRU14, PAS akan menentang Umno dan BN dengan bertanding jumlah kerusi lebih besar berbanding penyetaan PAS pada PRU13 lalu.

Begitu sekali bersungguhnya PAS mahu menggantikan Umno demi perjuangan Islam yang boleh menyelamatkan negara. – HARAKAHDAILY 27/2/2017