5.8 juta pelancong lawat Kelantan tahun lalu

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Kelantan mencatat sebanyak 96 peratus daripada enam juta pelancong dari dalam dan luar negara yang disasarkan oleh kerajaan negeri.

Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Mejar Md. Anizam Abdul Rahman berkata, daripada sasaran itu, seramai 5.8 juta dicatatkan pada tahun 2016.

Bagaimanapun menurut beliau, jumlah tersebut dilihat lebih tinggi berbanding tahun 2015 iaitu seramai 5.1 juta pelancong yang datang ke Kelantan.

"Pada tahun ini (2017) dengan tema 'Kelantan Di Hati', kita berharap dapat dikekalkan jumlah pelancong sebagaimana dengan tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran buku Sejarah Setiausaha Kerajaan Negeri di Dewan Gelanggang Seni di sini, pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat; timbalan exco, Hasan Mahmood ‎ dan Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan, Mohamad Nazwan Ismail.

Anizam berkata, keunikan seni warisan selain makanan tempatan dan kebudayaan menjadikan Kelantan mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

Ujarnya, kerajaan negeri menerusi Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan sentiasa berusaha mempromosikan sektor berkenaan degan kerjasama kebudayaan.

Menurutnya, kemasukan lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa mampu merancakan industri berkenaan sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

"Saya harap pelancong dapat mengambil peluang melancong ketika nilai mata wang kita untuk mengunjungi negeri ini yang kaya dengan tempat pelancongan," katanya. - HARAKAHDAILY 26/2/2017