PAS Terengganu lancar TV Harap

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Terengganu telah melancarkan satu lagi produk penerangannya, TV Harap bagi menyampaikan maklumat semasa dengan cepat kepada seluruh rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin mengucapkan tahniah di atas pelancaran program media tersebut dan berharap dengan usaha bersungguh-sungguh yang diambil, akan membawa kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Sesungguhnya perbagai usaha penerangan yang diambil oleh PAS khususnya oleh PAS Terengganu yang menggabung pelbagai kepakaran dalam media akan membawa kejayaan dalam menghadapi piliha raya umum yang akan datang,” ujar beliau dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika melawat ke studio TV tersebut di tapak Himpunan Harapan Semua PAS Gantu Umno Kali Kelima (Harap-PGU 3.5), di Kampung Raja, Besut, semalam.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, program TV tersebut yang disiarkan melalui internet akan memaparkan pelbagai isu kepada masyarakat.

“Program TV Harap yang telah kita mulakan dan lancarkan secara rasmi untuk seluruh penonton dan rakyat Terengganu melihat bagaimana isu-isu di negeri Terengganu sehingga pilihan raya akan datang agar rakyat dapat membuat perubahan,” jelasnya yang juga Adun Bukit Payong.

Tinjauan atas talian mendapati seramai 15,230 orang di kalangan ‘warga maya’ (netizen) telah mengikuti siaran TV tersebut sepanjang minggu lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,353 orang telah menyukai program tersebut di laman sosial manakala 1,400 mengikutinya (follow).

Antara para pemimpin yang telah diwawancara oleh TV Harap sepanjang program HARAP-PGU 3.5 selain Mursyidul Am PAS ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan selebriti Bob Lokman.