Misi Food Flotilla For Myanmar berlabuh di Yangon

IZWAN ABDUL HALIM | .

YANGON: Pelayaran hampir seminggu kapal Nautical Aliya yang membawa Misi FFFM akhirnya berlabuh tepat jam 3.10 petang waktu tempatan (4.40 waktu Malaysia) di Pelabuhan Antarabangsa Thilawa (MITT), di sini.

Misi ini disertai 184 aktivis dan sukarelawan serta 17 krew kapal bersama 2,300 tan barangan bantuan berupa makanan dan keperluan diri serta perubatan.

Ketika ini sukarelawan dan krew kapal sedang bersiap untuk menurunkan barangan bantuan sebanyak 200 tan beras bersama 10,000 kit kebersihan dan mi segera.

Bantuan itu disalurkan melalui Kerajaan Myanmar yang diwakili Menterinya, Dr Winmyat Aye dan akan dipantau Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Mohd Haniff Abdul Rahman.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican dan Ahli Pas Parlimen Bachok, Ustaz Ahmad Marzuky Shaari.

Nautical Aliya telah tiba di 'pilot station' yakni sempadan menanti bagi semua kapal sebelum mendapat keizinan berlabuh dari pihak berkuasa pelabuhan pada jam 11.20 malam tadi waktu Malaysia.

Jangkaan awal memasuki MITT jam 10:00 pagi tadi tertunda setelah penunjuk arah pandu dari pihak Tentera Laut Myanmar, Kapten Myat Soe hanya tiba sekitar jam 12.45 tengahari.

Setelah itu, kapal dilayar memudiki Terusan Thanlyetsoon dengan kelajuan hampir maksima iaitu 11.5 knot dan arus 2.1 knot.

Pelayaran Nautical Aliya akan diteruskan hari ini juga dijangka pada jam 6.00 petang menuju ke Pelabuhan Chittagong, Bangladesh bagi lanjutan serahan bantuan.

Misi mensasarkan serahan hingga ke Kem Pelarian Teknaf yang terletak kira-kira 6 jam perjalanan darat dari pelabuhan itu. - HARAKAHDAILY 9/2/2017