500 gotong royong bersih rumah mangsa banjir

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

TUMPAT: Hampir 500 peserta daripada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai program 'gonyoh dan gaha' di lokasi terlibat banjir baru-baru ini.

Mereka membersihkan rumah penduduk, institusi pendidikan, pasar, surau dan masjid.

Program itu dirasmikan Menteri Besar Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob pagi tadi.

Pengarah program, Mohd Khalik Mat Zari berkata sebanyak 30 NGO dan pelbagai agensi kerajaan menjayakan aktiviti pembersihan itu.

Antaranya Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), polis, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Amal, Majlis Daerah Bachok, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam dan beberapa syarikat swasta.

Beliau berkata antara lokasi gotong-royong tersebut iaitu Pengkalan Kubur, Kijang Sebidang dan Bendang Pakyong.

"Kami membahagikan semua tempat kepada kumpulan yang ditetapkan dengan kerjasama penghulu dan penggawa. Ia bertujuan meringankan beban penduduk yang terlibat dengan banjir.

"Usaha ini juga bagi memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta tanpa mengira latar belakang fahaman politik masing-masing," katanya ketika ditemui.

Sebelum itu mereka berkonvoi sejauh 15 kilometer dari Masjid Ismaili di Pasir Pekan ke Kampung Bendang Pakyong.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Kubang Sawa Mohd Farih Mohd Nawawi, 30 berkata, beliau berterima kasih kepada 40 anggota Jabatan Amal Ketereh membersihkan kediamannya.

Katanya juga semua alat elektrik di rumahnya rosak kerana ditenggelami banjir. – HARAKAHDAILY 10/1/2017