Kejayaan Faiz Subri dan inferior rakyat Malaysia

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya turut berbangga Faiz Subri dapat harumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sebenarnya sudah ramai rakyat negara ini membawa nama Malaysia ke tempat yang tinggi. Walaupun rakyat negara ini tidak sampai 0.5% dari populasi penduduk dunia, boleh katakan semua lapangan dan profesion ada orang kita. Ulama, sukan, perbankan, arkitek, jurutera, seni, perniagaan, politik, dan sebagainya.

Saya harap orang kita sudah boleh mengikis sikap inferior dan tidak percaya terhadap sesama sendiri. Usah lagi memandang apa yang bangsa lain bawa semuanya lebih bagus daripada kita. Kena yakin dengan kebolehan yang ada.

Jangan ingat kalau dia orang Brazil, skill bolasepaknya lebih hebat daripada orang kita. Jangan ingat kalau dia China, strategi perniagaannya lebih bagus daripada orang kita. Jangan fikir kalau dia Jerman, ilmu kejuruteraannya lebih hebat daripada orang kita. Jangan fikir kalau dia Arab, agamanya lebih daripada kita. Hum rijal wa nahnu rijal. Pemikiran ini perlu diperbetulkan.

Sudah banyak saya dengar kes-kes orang atasan kalangan kita sendiri, apabila cadangan, proposal, pelan dan idea dari orang kita dipandang sebelah mata sahaja. Membuatkan mereka terpaksa berusaha sendiri tanpa bantuan, bahkan diperli sana-sini. Setelah berjaya, barulah semua mata memandang. Sikap ini tidak akan memajukan negara.

Tengoklah filem Dangal arahan Aamir Khan. Ambil pengajaran untuk membina keyakinan kepada bangsa sendiri. Jangan tengok filem sekadar nak lampiaskan nafsu sahaja. – HARAKAHDAILY 10/1/2017