Kerugian akibat banjir belum diterima

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sehingga sekarang belum mendapat maklumat terperinci berkaitan kerugian yang dialami akibat banjir baru-baru ini.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, laporan kerugian belum dapat disiap memandangkan banjir di Kelantan baru pulih.

Begitu juga katanya laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian dan agensi lain belum lagi diterima.

“Kita belum lagi mengetahui setakat mana jumlah kerugiannya. Misalnya hasil pertanian dan penternakan serta harta benda yang rosak.

“Insya-Allah sedikit masa lagi kita akan menerima laporan dari Pejabat Tanah dan Jajahan serta jabatan berkaitan,” katanya selepas menghadiri majlis perjanjian persefahaman dengan syarikat Climate Protector Sdn Bhd di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri menyambut baik saranan kerajaan pusat untuk mengadakan kerjasama holistik berkaitan masalah banjir di negeri itu.

Malah katanya, sekiranya usaha itu benar-benar mahu dilaksanakan kerajaan negeri akan menghantar wakil untuk membincangkan.

“Bagaimanapun setakat ini kerajaan negeri belum menerima cadangan itu secara rasmi. Kami hanya mengetahi melalui media masa sahaja,” katanya. - HARAKAHDAILY 9/1/2017