Rasuah bersarang dalam kerajaan, pendekatan agresif SPRM dipuji

NASRUDIN HASSAN | .

Semalam, bekas CEO TEKUN Nasional ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas kesalahan menerima wang suapan berjumlah RM36,000. Pada 2015 lepas, individu yang sama ini telah pun didakwa di mahkamah berikutan pertuduhan melakukan dua kesalahan menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan wang suapan berjumlah RM200,000.

Pada 4 Januari lalu, SPRM mengesahkan telah menahan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bersama seorang anaknya dan merampas wang tunai berjumlah RM3 juta, mata wang asing serta jongkong emas.

Rekod tahun lepas mencatatkan pada Mac 2016, seorang yang berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah berjumlah RM38.4 juta dan pada Ogos 2016 pula, seorang pegawai kanan DBKL ditahan bersama 2 yang lain kerana kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Demikianlah beberapa siri pembabitan individu-individu dalam kerajaan serta agensinya dengan rasuah. Menunjukkan bahawa amalan rasuah telah pun bersarang dalam struktur dan persekitaran kerajaan.

Tidak hairanlah jika usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan sebelum ini seakan-akan tidak menatijahkan hasil yang besar kerana keadaan penyakit rasuah telah menjadi budaya dan amalan gelap individu-individu yang tidak amanah ditambah kewujudan sistem atau prosedur yang boleh dimanipulasi untuk tujuan itu.

Pendekatan agresif SPRM yang memberdayakan segala usaha bagi mengenalpasti dan membasmi unsur-unsur dan pengaruh rasuah termasuk dengan menahan mana-mana individu tanpa mengira kedudukan seseorang itu wajar dipuji dan adalah diharapkan dapat menyahkan rasuah di negara ini.

Sewajarnya suruhanjaya ini diberikan jaminan bagi menjalankan siasatan secara bebas tanpa gangguan daripada pihak-pihak mana pun dan diberikan kuasa untuk membuat pendakwaan.

Saya menyeru kepada orang ramai agar terus memberikan sokongan kepada suruhanjaya ini khususnya dengan bertindak sebagai pemberi maklumat atau saksi bagi mendedahkan salah laku yang berlaku dalam kerajaan atau agensi-agensinya.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
9 Januari 2017 | 10 Rabi’ul Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 9/1/2017