Sejam yang berharga bersama Ayah Chik

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

*CUBAAN PERANGKAP AL-QAEDA* (BHG 1)

RASANYA berbaloi hari ini kalau saya kongsikan cerita semalam. Alhamdulillah dalam kesempatan yang tidak dirancang, sekali lagi berpeluang berjumpa dengan Ayah Chik secara peribadi. Rasanya dah lama tidak ada kesempatan sebegitu. Walaupun rumah kami selang beberapa meter sahaja, tapi tak sangka berjumpa di negeri orang. Kalau dah jodoh kata orang Zimbabwe.

Saya tak berhasrat untuk cerita bagaimana kami boleh bertemu. Tapi yang lebih penting adalah apa isinya.

Awal pertemuan, kami sembang isu Indonesia, cita-cita dan usaha beliau untuk rantau ini. Besar sungguh harapan beliau. Dari apa yang diceritakan, rantau ini sangat berpotensi untuk bangkit dari pelbagai segi. Namun, ia juga tidak terlepas dari rebutan antara kuasa-kuasa besar.

Lepas satu-satu topik, sampai bab Hamas, bab Qatar dan Syeikh Majid Zindani. Salah satu cerita yang menarik ialah bagaimana cubaan untuk memerangkap beliau bersama kumpulan al-Qaeda tidak lama dahulu. Mujur Allah selamatkan beliau. Kalau tidak, mungkin dah lama dicop sebagai pengganas dan diburu hingga sekarang.

Ringkas cerita, sebelum peristiwa 11 September, Osama Laden telah mengadakan satu perjumpaan dengan menjemput wakil gerakan-gerakan Islam sedunia. Surat jemputan turut sampai kepada Ayah Chik namun beliau tidak melayan jemputan yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, ramai pemimpin gerakan Islam lain hadir tanpa sebarang syak.

Tidak lama selepas perjumpaan itu, berlaku peristiwa 11 September tahun 2001 di Washington. Bagaikan 'skrip' yang telah dihafal, Amerika terus menuduh al-Qaeda dan melancarkan kempen anti teroris dengan mensasarkan al-Qaeda serta Osama sebagai dalang. Gambar perjumpaan itu turut didedahkan di media-media dan semua peserta yang ada dalam gambar diburu sehingga kini atas tuduhan bersekongkol dengan pengganas.

Mungkin kerana Ayah Chik termasuk dalam 'skrip' senarai yang cuba diperangkap melalui surat jemputan terdahulu, pihak media khususnya Daily Mirror terlanjur menyenaraikan gambar Ayah Chik antara mereka yang terlibat dalam peristiwa itu. Akhbar tersebut turut mendakwa Ayah Chik sebagai orang nombor dua al-Qaeda.

Ayah Chik melalui firma guaman Carter Ruck terus menyaman akhbar tersebut. Beliau ke UK untuk menghadiri proses kehakiman. Peguam Daily Mirror telah membuka semua laporan berita dan kenyataan Ayah Chik yang pernah keluar di media untuk mengaitkan beliau dengan tuduhan pengganas.

Setelah perbicaraan berlaku, ringkas cerita akhirnya Daily Mirror memohon maaf secara terbuka melalui akhbarnya serta membayar pampasan kepada Ayah Chik. Nama beliau berjaya dibersihkan. Namun ramai pemimpin gerakan Islam lain berjaya diperangkap. Antaranya adalah Syeikh Majid Zindani pemimpin parti Islah di Yaman. Kini beliau tinggal di Saudi dan tidak boleh ke mana-mana lagi. Kalau keluar, pasti Amerika akan tuntut dirinya atas tuduhan lama itu.

"Lepas kes itu, Rashid Ghanousi (pemimpin parti an-Nahda Tunisia) kata, sepatutnya Ayah Chik pergi marah Daily Mirror sebab tulis orang nombor dua. Lain kali tulislah nombor satu!" Selorohnya diiringi dekahan tawa. Orang tengah cemas boleh lagi dia buat kelakar.

Ayah Chik ada baca berita mengenai Syeikh Ismael Haniyyeh, Perdana Menteri Palestin wilayah Gaza. Baru-baru ini Saudi jemput beliau mengerjakan umrah (atau haji; syak perawi). Tetapi selepas itu beliau tak disekat dari pulang ke Gaza. Saudi beri pilihan sama ada dia mahu tinggal di sana ataupun Qatar sahaja.

"Tapi kalau dia dah boleh balik Palestin sekarang, tak tahulah" Ujar Ayah Chik menutup kes. – HARAKAHDAILY 9/1/2017